Ibadah Dan Pembangunan

BEKERJA SEBAGAI IBADAH

1.0 PENGENALAN.
Fungsi utama manusia di atas muka bumi ini adalah untuk beribadah kepada Allah s.w.t. sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan rahmat Allah s.w.t. yang tidak terhingga dan tidak ternilai. Kehidupan manusia di dunia adalah sementara dan merupakan jambatan bagi menuju ke akhirat. Kehidupan akhirat lebih kekal dan abadi, manakala kehidupan di dunia terhad dalam jangka masa khusus yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada manusia bagi menyediakan bekalan secukupnya di akhirat. Bekalan itu ialah amalan soleh yang merangkumi konsep ibadah.


1.1 KONSEP IBADAH
Konsep ibadat di dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Tiap-tiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat. Inilah kombinasi yang indah di dalam Islam yang tidak terdapat di dalam agama-agama lain. Setiap muslim boleh melaksanakan sifat kesempurnaan yang dituntut oleh agama semasa ia menjalankan segala kegiatan di bumi sebgai khalifah Allah seperti semasa mencari rezeki dan sebagainya dengan syarat sentiasa mengikhlaskan hatinya ke jalan Allah.

Pengertian Ibadah

Perkataan ibadat datang dari perkataan Arab. Dari segi bahasa ibadat bererti patuh, taat, tunduk, menyembah dan perhambakan diri kepada sesuatu. Dari segi istilah ibadat bererti tindakan menurut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara yang disyariatkan oleh Allah dan diseru oleh Rasul ,samada ia berbentuk suruhan dan larangan.

Di antara ayat perintah beribadat:

Firman Allah s.w.t;
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنْسََ إِِلاَّ لِيَعْبُدُوْنَ

“ Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”(Surah az-Zaariyat:56)



Sabda Rasulullah s.a.w.;

قَالَ فَأَخْبِرْنِى عَنِ الإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

“Apakah dia ihsan? Jawab baginda: Ihsan ialah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya maka jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”


Daripada ayat dan hadis di atas, kita dapat memahami bahawa:

•Allah s.w.t. menciptakan umat manusia dan memerintah mereka supaya melakukan ibadat serta menjunjung perintahNya dan meninggalkan larangan-laranganNya.

•Tujuan sebenar Allah s.w.t. menciptakan manusia ialah untuk beribadat.

•Manusia diwajibkan beribadat kepada Allah s.w.t. tanpa menyengutui Allah dengan sesuatu makhluk.

•Manusia dituntut beribadat kepada Allah s.w.t. sehingga akhir hayatnya kerana seseorang itu tidak terlepas dari tanggungjawab tersebut.

•Setiap peribadatan hendaklah berdasarkan keikhlasan yang lahir daripada hati yang redha sebagai mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.



1.2 RUANGLINGKUP IBADAT UMUM DAN IBADAT KHUSUS

Ibadat di dalam Islam meliputi seluruh aktiviti-aktiviti kehidupan manusia sama ada perbuatan, perkataan, tingkahlaku, ataupun cara berfikir merupakan ibadat asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan disertakan dengan niat untuk mendapat keredhaan Allah, melaksanakan perintah Allah, berbudi pekerti yang mulia, berjihad di jalan Allah, menegakkan kebenaran, menentang kemungkaran adalah ibadat.

Di dalam Islam, ibadat terbahagi kepada dua iaitu Ibadat Umum dan Ibadat Khusus.

i. Ibadat Umum:
Ialah perlakuan manusia yang mempunyai hubungan ketuhanan kepada Allah dan hubungan baik sesama manusia sama ada kegiatan itu berkaitan dengan diri sendiri urusan keluarga, masyarakat ataupun negara. Contohnya bersedekah, berbuat baik sesama manusia, mencari rezeki yang halal menuntut ilmu dan sebagainya.

ii. Ibadat Khusus:
Ialah semua bentuk ibadat yang ditentukan oleh Allah dan wajib dilaksanakan bagi menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia yang terkandung di dalam fardu ain secara ilmu dan amal. Ia terbahagi kepada dua iaitu Ibadat Khusus Wajib dan Ibadat Khusus Sunat.

•Ibadat Khusus Wajib ialah ibadat yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam yang cukup syarat bagi melakukannya seperti syahadat, solat lima waktu, berpuasa dalam bulan Ramadan, menunaikan zakat dan menunaikan haji.

•Ibadat Khusus Sunat ialah ibadat yang sangat digalakkan seperti solat sunat, puasa sunat dan lain-lain.

Ciri-Ciri Ibadat Dalam Islam

•Ibadat hanya dikerjakan semata-mata kerana Allah swt. Al Quran menitik beratkan bahawa ibadat itu hendaklah dilakukan kerana Allah swt semata-mata.

•Perhubungan langsung antara hamba dan PenciptaNya. Dalam Islam perlindungan dapat dilakukan oleh seseorang hamba dengan Allah swt secara langsung. Ibadat dalam Islam tidak berhajat adanya orang tengah sebagaimana yang terdapat pada setengah-setengah agama lain.

•Melambangkan khusyuk yang penuh dan ketaatan yang mutlak kepada Allah swt. Ibadat dalam Islam melambangkan khusyuk dan ketundukan seseorang sepenuhnya kepada Allah swt serta ketaatannya yang mutlak terhadapNya. Oleh itu di dalam bidang ibadat khusus, ia bersifat taufiqiyah, iaitu ia dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah swt, tidak boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya,

1.3 SYARAT-SYARAT KERJA MENJADI IBADAT

Ibadat-ibadat Umum dan ibadat Khusus mempunyai syarat-syarat dan rukun-rukun tertentu untuk diiktiraf sah dan diredhai Allah swt. Amalan-amalan lain hanya akan diakui sebagai ibadat jika ia memenuhi syarat-syarat berikut:

1)Amalan yang dikerjakan itu hendaklah diakui Islam iaitu sesuai dengan hukum-hukum syariat dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut.

2)Amalan-amalan itu dikerjakan dengan niat yang baik dan diredhai Allah. Sebagai seorang muslim amalan mestilah untuk memelihara kehormatan dirinya,menyenangkan keluarganya, memberi manfaat kepada umatnya dan dapat memakmurkan bumi Allah swt.
3)Amalan-amalan itu hendaklah dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati kehendak-kehendak hadis Rasulullah swt sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim :


إِنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ ِشَئِّ

"Sesungguhnya Allah swt mewajibkan kebaikan pada tiap-tiap sesuatu."

4)Ketika melakukan sesuatu amalan, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasannya, seperti tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak merampas hak orang.
5)Tidak lalai dan tidak cuai menjalankan kewajipan ibadat-ibadat khusus seperti solat, puasa dan sebagainya ketika mengerjakan amalan-amalan dunia.

Apabila seseorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari, dia dikira sentiasa beribadat kepada Allah swt meskipun dia tidak duduk di masjid-masjid atau disurau-surau ketika membuat kerja-kerja tersebut.


Kesimpulan

Ibadat di dalam Islam ialah hakikat bahawa manusia adalah makhluk dan hamba kepada Penciptanya dan kepadaNya mereka akan dikembalikan. Penyembahan dan penyerahan diri kepada Allah swt, perhubungan yang suci dan perkhidmatan yang penuh khusyuk dan rendah hati yang dilakukan oleh manusia kepada Allah swt. merupakan ciri penting dalam amalan mengabdikan diri kepada Allah swt. Wujudnya kesepaduan dan kaitan yang erat antara iman dan akhlak adalah untuk melahirkan ibadat yang natijahnya diterima Allah swt.

BANDING BEZA IBADAH DAN ADAT

2.0 PENGENALAN

Islam mengakui seluruh kehidupan manusia dan setiap aspek gerak laku kemanusiaan yang menuju kepada sasarannya adalah ibadah kepada Allah swt. Daripada itu, kehidupan manusia adalah terbatas dan berkisar pada persekitaran peribadatan; sebagai contoh bersifat adil kepada manusia, membangunkan muka bumi dan menuntut ilmu.

3.2.1 Perlakuan Yang Menjadi Ibadah dan Perlakuan Yang Menjadi Adat Sahaja

Setiap amalan yang diperintahkan Allah swt. kita melakukannya seperti ibadat solat, puasa dan lain-lain adalah dikatakan sebagai ibadah. Begitu juga sesuatu amalan yang kita kerjakan dengan niat yang baik turut dikatakan ibadah seperti:

• Riadah dengan tujuan untuk menjaga kesihatan supaya dapat melakukan ibadat dengan khusyuk.
• Masuk ke masjid dengan niat iktikaf
• Bekerja dengan niat untuk mencari nafkah diri, keluarga dan untuk bersedekah.
• Mandi pada pagi hari raya akan menjadi ibadah jika ada niat mandi sunat hari raya.

Manakala sesuatu amalan yang dikerjakan tanpa niat kepada Allah swt adalah dikatakan sebagai adat ataupun kebiasaan sahaja seperti:

• Riadah tanpa niat.
• Masuk ke masjid tanpa niat.
• Belajar semata-mata untuk mendapatkan sijil dan pekerjaan.
• Mandi pada pagi hari raya jika tiada niat mandi sunat hari raya dikira sebagai amalan bangun pagi mandi mencuci diri sahaja.



Di samping amalan yang menjadi adat atau kebiasaan, amalan turun temurun sesuatu masyarakat turut dikatakan sebagai adat ('urf) dan ia boleh dipatuhi selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak seperti adat seraya iaitu bergotong-royong ketika musim menuai padi dan pada majlis perkahwinan sesuatu tempat dan lain-lain lagi.


3.2.2 Faktor Yang Menjadikan Perlakuan Adat Sebagai Ibadat Dan Sebaliknya.

Rasulullah saw. bersabda;

لاَ يَقْبَلُ اللهَ مِنْْ عَمَلٍ إِلاَّ مَا كَانَ لَهُ خَالِصًا وَابْتَغِى بِهِ وَجْهَهُ

"Allah tidak menerima amalan melainkan ikhlas dan untuk mencari keredhaanNya"
(Riwayat Ibnu Majah)


Berdasarkan hadis di atas dapatlah difahami bahawa:

• Perlakuan adat yang dilakukan dengan niat kerana Allah swt. merupakan faktor utama untuk membezakan sesuatu amalan yang dilakukan akan menjadi ibadah ataupun adat sahaja.

• Amalan-amalan yang dilakukan dengan tujuan yang baik dikira sebagai ibadat.
SOLAT JEMAAH ASAS PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN ISLAM

3.3.0 PENGENALAN

Solat berjemaah ialah solat yang dilakukan secara beramai-ramai yang terdiri daripada imam dan makmum. Hukum menunaikan solat berjemaah adalah fardu kifayah. Menunaikan solat secara berjemaah akan mendapat ganjaran iaitu 27 kali ganda darjatnya daripada solat berseorangan sebagaimana sabda Rasulullah saw.;

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةًً

"Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda pahalanya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Di antara Hikmat Sembahyang Berjemaah

 Memupuk ikatan persaudaraan di kalangan amggota masyarakat setempat.
 Dapat berbincang untuk menyelesaikan masalah masyarakat.
 Melatih dan meningkatkan disiplin.
 membentuk masyarakat yang menghormati orang tua.
 Membentuk diri dan sentiasa peka dengan keadaan semasa yang berkaitan
dengan masyarakat Islam.
 Anggota masyarakat dapat bergaul dengan baik tanpa mengira pangkat dan kekayaan.
 Melahirkan syiar dan simbol perpaduan umat Islam.
 Seseorang itu sangat disukai oleh Allah s.w.t.





3.3.1 Pengurusan Solat Jemaah Sebagai Model Asas Pengurusan Organisasi


Bil Solat Jemaah Sesebuah Organisasi
a. Makmum tidak boleh mendahului imam dalam segala perbuatan ketika solat berjemaah Ahli tidak boleh membelakangkan ketua di dalam peraturan yang telah ditetapkan oleh sesebuah organisasi
b. Makmum dikehendaki mengingatkan imam yang terlupa membaca ayat / bacaan ketika solat iaitu “subhanallah” Sifat ingat-mengingati antara satu sama lain dalam sesebuah organisasi perlu untuk kebaikan bersama.
c. Saf solat hendaklah lurus dan rapat. Perpaduan dan kerjasama di kalangan ahli organisasi mestilah kukuh untuk memastikan kelancaran dalam setiap perkara.
d. Imam hendaklah orang yang baik bacaannya. Seorang ketua organisasi hendaklah orang yang arif dalam bidang pentadbiran dan pengurusan.
e. Imam hendaklah mengutamakan toharahnya. Ketua menjadi contoh agar menjaga personalti yang baik dan disegani.
f. Mengeratkan silaturrahim di kalangan masyarakat. Mengeratkan silaturrahim di kalangan anggota sesebuah organisasi melalui sikap bekerjasama dan saling hormat-menghormati.


3.3.2 Peraturan Di Dalam Solat Berjemaah
Islam telah menetapkan beberapa peraturan di dalam menunaikan solat berjemaah iaitu:
A. Syarat Menjadi Imam
• Mestilah seorang yang beragama Islam.
• Imam mestilah lelaki - Perempuan hanya boleh menjadi imam kepada makmum perempuan sahaja.
• Baligh - Kanak-kanak tidak boleh menjadi imam kecuali di kalangan mereka sahaja.
• Berakal.
• Imam tidak boleh mengikut imam yang lain.
• Mesti betul bacaan wajib dalam sembahyang.

B. Keutamaan menjadi Imam ialah:
• Orang yang lebih baik bacaannya dan yang dimaksudkan dengan baik bacaannya itu termasuklah yang banyak hafaz al Quran.
• Orang yang lebih faham dan lebih mengetahui hukum-hukum agama menurut al Quran dan hadis sebaliknya jika semua sifat tersebut sama maka hendaklah dijadikan imam orang yang lebih tua umurnya. Dalam masalah di suatu kawasan atau tempat maka orang yang mempunyai kawasan atau tempat itulah yang lebih berhak menjadi imam.

C. Adab-Adab Imam Sebelum Mendirikan Solat:
Adab-adab yang perlu dijaga sebelum mendirikan solat jemaah ialah:
• Hendaklah membaguskan toharah atau bersuci
• Hendaklah datang pada awal waktu solat sebab itu patutlah rumah imam berdekatan dengan msajid,
• Hendaklah imam mempunyai keikhlasan yang sempurna terhadap para makmum, janganlah imam terus sahaja bertakbir sebelum melihat ke kanan dan ke kiri untuk mempastikan kesempurnaan saf.
• Jika makmum seorang sahaja hendaklah imam menuruh makmum itu berdiri di sebelah kanannya.

D. Syarat-syarat Makmum
• Makmum berniat mengikut imam.
• Makmum hendaklah mengikuti perbuatan imam iaitu tidak boleh mendahului perbuatan imam.
• Makmum mengetahui pergerakan imam untuk diikuti sama ada melihat pergerakan imam, mendengar atau melihat pergerakan saf (barisan) makmum bahagian hadapan.
• Kedudukan makmum hendaklah belakang sedikit daripada imam.
• Makmum lelaki tidak boleh mengikut sembahyang imam wanita.
• Tidak sah mengikut imam yang diketahui batal solatnya.
• Makmum wajib mengikuti imam di dalam perkara-perkara sunat seperti sujud tilawah. Jika imam sujud tilawah maka makmum wajib sujud mengikut menjadi imam begitu juga sebaliknya jika imam tidak sujud maka makmum juga tidak sujud. Berlainan pula dalam perkara sujud sahwi jika imam melakukannya makmum wajib mengikutinya tetapi jika imam tidak sujud sahwi makmum disunatkan sujud sahwi setelah imam memberi salam.

E. Jenis Makmum Dalam Solat Berjemaah

a. Makmum Muafik
Muafik ialah makmum yang sempat menghabiskan bacaan al- Fatihah sebelum imam rukuk. Hukumnya ialah mereka dihendaki segera menghabiskan bacaan fatihahnya dan dibenarkan ketinggalan dari imam hingga tiga rukun perbuatan iaitu rukuk, iktidal dan sujud pertama. Sekiranya masih belum selesai dari bacaan fatihahnya dan imam telah memasuki sujud kedua maka wajiblah ia segera mendapatkan imam di mana ianya sedang berada dan luputlah rakaat itu baginya. Jika dia masih meneruskan bacaannya lagi dengan tidak niat berpisah dari imam maka batallah sembahyangnya itu.

Hukum bagi orang muafik dimaafkan jikalau tertinggal jarak tiga rukun yang panjang dari imamnya tidak termasuk rukun-rukun yang pendek. Rukun-rukun yang panjang itu seperti rukuk dan sujud manakala rukun-rukun yang pendek pula ialah seperti iktidal dan duduk antara dua sujud. Tiga rukun yang panjang itu tidak termasuk duduk tasyahud awal dan iktidal. Contoh dan gambaran seperti berikut:

• Seseorang makmum yang muafik sedang solat jemaah sebelum imam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk maka makmum berkenaan mendapat rakaat itu kerana dia tertinggal daripada imam belum masuk kepada rukun yang keempat.
• Seseorang makmum yang muafik dapat masuk solat berjemaah sebelum imam duduk tasyahud akhir tetapi makmum berkenaan sudah rukuk. Hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.

Kedua-dua contoh di atas menunjukkan bahawa makmum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya, belum masuk lagi ke rukun yang keempat sebagaimana contoh di atas, di antara makmum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira membolehkan seseorang itu muafik ialah:

i. Rukuk
ii. Sujud yang pertama
iii. Sujud yang kedua.


b. Makmum Masbuk
Makmum masbuk ialah makmum yang tidak sempat menghabiskan bacaan al- Fatihah sebelum imam rukuk. Jika Takbiratul Ihramnya ketika imam belum rukuk hendaklah dia membaca al- Fatihah sedapat mungkin kemudian ikut rukuk bersama imam atau dia sempat rukuk dengan sempurna bersama-sama imam maka dikira mendapat satu rakaat namun jika dia tidak sempat bersama imam dalam rukuk maka hendaklah dia menggenapkan bilangan rakaat yang masih belum cukup sebaik-baik sahaja imam memberi salam. Adapun al- Fatihahnya ditanggung oleh imam, ini adalah pendapat jumhur ulamak.

Hukum Masbuk:
Kedudukan makmum yang masbuk adalah seperti berikut:
• Bila makmum yang masbuk itu mendapati imam sedang berdiri dalam pembacaannya tetapi dia khuatir jikalau imam segera rukuk sebelum dia sempat membaca al- Fatihah, ketika itu eloklah dia membaca al fatihah sahaja tanpa membaca doa iftitah sekiranya imam rukuk sedangkan dia belum selesai membaca al fatihah maka dia hendaklah rukuk bersama

imam dan tidak perlu dia meneruskan bacaan al fatihah yang belum habis.

• Bila didiapati imam sedang rukuk atau hendak rukuk, maka hendaklah dia membaca takbiratul ihram sahaja kemudian terus rukuk bersama imam. Masbuk yang demikian mendapat rakaat itu kerana dia telah mendapat rukuk bersama imam.

• Bila didapati imam sedang duduk membaca tasyahud atau sedang sujud maka hendakhlah dia duduk berserta imam dengan tidak payah membaca takbir intiqal iaitu setelah dia membaca takbiratul ihram, ketika itu tidak wajib baginya membaca tasyahud itu tetapi duduk sahaja mengikut imam. Dia juga wajib mengikut imam pada apa jua perbuatan yang masih didapatinya, walaupun perbuatan itu tidak dikira.

F. Susunan Saf
• Jika makmum seorang lelaki tidak kira sama ada dewasa atau kanak-kanak maka makmum itu hendaklah disebelah kanan imam dan terkebelakang sedikit.
• Seandainya datang seorang lelaki untuk menyertai sembahyang berjemaah itu maka dia hendaklah berdiri untuk sembahyang di belakang imam sedangkan makmum yang mula-mula tadi hendaklah berundur ke belakang lalu menjadi lurus dalam saf makmum yang datang kemudian tadi.
• Jika makmum bercampur lelaki dan perempuan maka kedudukan saf adalah seperti berikut iaitu imam, makmum lelaki dan makmum wanita lebih ke kiri sedikit.
• Jika imam seorang lelaki dan jemaahnya hanya seorang wanita maka makmum wanita itu hendaklah berdiri di saf barisan kedua belakang dengan memberat ke sebelah kiri saf pertama belakang imam hendaklah dikosongkan untuk memberi tempat jika ada makmum lelaki masuk berjemaah.
• Jika makmum itu lelaki, wanita dewasa dan kanak-kanak maka kedudukan saf seperti berikut iaitu imam, makmum kanak-kanak lelaki dan makmum wanita dewasa.
• Jika jemaah itu mengandungi semua peringkat maka susunan saf adalah seperti berikut: imam, makmum lelaki dewasa, makmum kanak-kanak lelaki, makmum wanita dewasa dan makmum kanak-kanak perempuan.
• Jika imam adalah perempuan dan makmumnya seorang perempuan maka kedudukan makmum ialah terkebelakang sedikit daripada imam di sebelah kanannya.
• Jika ramai makmum perempuan maka kedudukannya adalah seperti berikut: iaitu imam wanita, makmum wanita ( di sebelah kanan dan kiri imam).


G. Perbezaan di antara Lelaki dengan Perempuan

Bil LELAKI PEREMPUAN
1. Semasa takbiratul ihram kedua tangan hendaklah diangkat hingga nampak ketiak dan tinggi hingga kedua jari bertentangan dengan cuping telinga. Mengangkat kedua tangan hingga hujung jari bersententangan dengan cuping telinga.
2. Semasa rukuk dan sujud direnggangkan dua lengan (siku) dari dua lambungan. Dirapatkan dua lengan siku dengan dua lambungnya.
3. Bacaan dalam solat hendaklah dinyaringkan pada tempat-tempat nyaring. Memperlahankan bacaan ketika ada lelaki yang ajnabi berhampiran dengannya.
4. Apabila memperingatkan imam yang terlupa atau tersalah hendaklah diucapkan dengan lafaz tasbih (subhanallah) Menepuk tangan kanan ke atas belakang tapak tangan kiri.
5. Aurat dalam solat ialah antara pusat hingga lutut. Aurat dalam solat ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangannya.