Akhlak

AKHLAK TERPUJI

1.0 PENGENALAN.

Akhlak adalah satu keadaan diri yang semulajadi melahirkan tingkahlaku secara langsung tanpa memerlukan pemikiran dan pengertian. Allah s.w.t. telah mencipta perasaan semulajadi ini dalam diri manusia sebagaimana firman Allah swt :
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّهَا. فَأَلَّهَمَهَا فُجُوْرَهَا وَتَقْوَهَا .

“ Demi jiwa dan kesempurnaan ciptaaannya , maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaan. Sungguh telah berbahagia orang yang menyucikannya dan kecewa orang yang menodainya.”
(Surah as-Shams:7)


Ayat ini telah menjelaskan bahawa Allah telah menciptakan dalam diri manusia unsur baik dan unsur buruk (fasik) terpulang kepada keturunan manusia untuk memilih salah satu daripadanya. Oleh itu ulamak telah membahagikan akhlak manusia kepada dua kategori akhlak baik atau mahmudah, akhlak jahat atau mazmumah.


1.1 KONSEP AKHLAK TERPUJI (MAHMUDAH)

Pengertian Akhlak Terpuji
Akhlak mahmudah ialah perbuatan terpuji menurut pandangan akal dan syariat Islam. Akhlak mahmudah ini ialah sifat rasulullah s.a.w. dan amalan utama penganut Islam sejati.


Imam Ghazali telah menetapkan empat prisnsip utama akhlak yang menunjangi akhlak manusia bagi melahirkan akhlak terpuji iaitu:

•Hikmah ( Kebijaksanaan)
iaitu satu keadaan dalam diri iaitu kekuatan akal yang membolehkannya secara semulajadi membezakan di antara baik dan buruk dalam semua perbuatan ikhtiariyah ( perbuatan yang lahir dengan pilihan manusia sendiri). Daripada sifat ini akan melahirkan sifat baik hati, cerdik, bersangka baik dan pertimbangan baik.

•Adil
Ia adalah kekuatan jiwa yang dapat meletakkan perasaan marah dan nafsunya mengikut kesesuaian keadaan berlandaskan pertimbangan akal dan syariat.

•Syajaah
Ia adalah keupayaan diri yang akal dapat mengawal perasaan marah atau mengikut apa yang dituntut oleh akal dan syarak. Pemarah, berani, bermujahadah dengan nafsu, menanggung penderitaan, lemah-lembut dan tetap pendirian.

•Iffah
Ia adalah keupayaan diri uang dapat mendidik keinginan nafsu syahwat agar tunduk kepada kemahuan akal dan syariat. Pemurah, malu, sabar, pemaaf tolong-menolong, peramah dan kurang mengharap dari orang lain.

Apabila keempat-empat sifat ini wujud dalam diri manusia, barulah akan melahirkan sifat-sifat mahmudah yang lain. Jika sifat ini terhakis atau berlebihan dalam diri manusia akan melahirkan sifat yang keji pula. Sabda Rasulullah s.a..w;

خَيْرُ الأُمُوْرِ أَوْسطُهَا

“Sebaik-baik perkara adalah bersederhana."

Imam al Ghazali berpendapat bahawa akhlak yang baik dapat dicapai melalui proses mujahadah dan riadah dengan melawan hawa nafsu dan cuba mempertingkatkan akhlak diri sendiri.

1.2CIRI-CIRI AKHLAK ISLAMIAH

Ciri utama akhlak Islamiah itu adalah ketakwaan kepada Allah s.w.t yang dibimbing melalui sumbernya yang agung iaitu al Quran dan as Sunnah.
Taat kepada Allah dan ingin mendapat keredhaanNya
Takut kepada siksaanNya.
Tidak mudah berubah, tidak tunduk kepada hawa nafsu dan kehendak tertentu.
MencintaiNya dan mengamalkan segala yang diperintahNya
Menjadikan Islam sebagai sumber akhlak yang akan melahirkan insan yang dermawan, berani, adil, dapat dipercayai dan lain-lain serta menjauhkan diri daripada sifat bakhil, takbur, maksiat, dusta dan menjauhi sifat-sifat tercela yang lain.


1.3 CONTOH-CONTOH AKHLAK TERPUJI

Akhlak mempunyai tali perhubungan yang akrab dengan iman dan takwa . Tanpa akhlak bermakna iman dan takwa menjadi gersang. Aklak yang baik disaran oleh al Quran banyak sekali seperti iman, takwa, amal soleh, ikhlas, sabar, amanah, zuhud dan sebagainya. Terdapat banyak contoh akhlak terpuji, di antaranya:

a.Kasih sayang (ar-Rahmah)
Sifat kasih sayang kepada semua manusia terutama antara manusia yang seagama sangat dipandang tinggi dan digalakkan oleh Islam sebagaimana dalam surah al-Balad : 17

وَتَوَاصَوْا بِالْصَبْرِ وَتَوَاصَوْا بِالْمَرْحَمَةِ

“Mereka saling berpesan dengan kesabaran, mereka saling berpesan dengan kasih sayang."

”Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak bersifat belas kasihan kepada yang ada di bumi dia pun tidak dikasihi oleh yang ada di langit.” (At Tibrani)

b.Adil
Adil ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, memberi hak kepada mereka yang memiliki hak, membebankan kewajipan bagi mereka yang mempunyai kewajipan. Hak yang diberikan itu tidak lebih dan tidak kurang sebagaimana firman Allah Taala
إِنَّ اللهَ يَأمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسنِ

dalam surah an-Nahl : 90 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat baik.”


c.Berani dan Sabar
Berani ialah menghadapi bahaya dan penderitaan dengan tabah dan dapat menguasai jiwanya dan bertindak menurut semestinya. Syarat berani ialah sabar, iaitu tabah menahan penderitaan, tidak putus asa, tenang menghadapi penderitaan. Oleh itu sabar adalah ciri akhlak yang utama. Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Najm :121 yang bermaksud: “Sabar dan tawakkal kepada Allah adalah pangkal kemenangan.”

d.Keunggulan peribadi.
Individu yang berperibadi tinggi menjalankan tugas-tugasnya dengan rapi dan cekal sepanjang hayat. Inilah yang dinamakan keunggulan peribadi dan setiap kegiatan yang melatih individu untuk membentuk peribadi yang kukuh terpaksa dijalankan secara teratur dan tetap sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Perbuatan yang paling disukai oleh Allah ialah perbuatan yang dilakukan secara berterusan walaupun ia kecil.”

e.Memelihara kesucian diri. (al-Iffah)
Ia bererti menjaga diri daripada segala keburukan supaya terpelihara kehormataan diri. Seseorang muslim harus sentiasa berusaha memelihara kesucian dirinya dan hawa nafsu, lidah serta hatinya daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t.

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ ذَكّهَا وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسّهَا

“Berbahagialah orang yang membersihkan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorkan jiwanya.”
(Surah a-Shams : 9 – 10)

f.Ketepatan Masa
Menjaga masa adalah ciri-ciri sifat yang baik. Solat mengajarkan kita mengenai ketepatan masa. Latihan ini kita jalankan secara berterusan dan tetap. Jika kita sentiasa tepat dengan solat berjemaah setiap hari insyaAllah kita akan tepat dalam segala kegiatan yang kita lakukan.

KESIMPULAN
Akhlak memainkan peranan yang penting untuk melahirkan insan yang baik dan beramanah serta menghindarkan insan yang jahat dan khianat. Oleh kerana itu akhlak yang mulia adalah faktor terkuat untuk menyokong pembangunan rohani manusia.

AKHLAK TERCELA (MAZMUMAH)

2.0 PENGENALAN

Akhlak mazmumah ialah perbuatan tercelai menurut pandangan akal dan syariat Islam. Akhlak mazmumah ini bukan sifat Rasulullah s.a.w. dan amalan utama penganut Islam sejati, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan yang sebesar zarah.” (Riwayat Muslim)

2.1 KONSEP AKHLAK TERCELA (MAZMUMAH)
Akhlak tercela atau akhlak buruk dalam bahasa Arab dikenali sebagai sifat-sifat mazmumah, merupakan sifat-sifat yang bercanggah dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Sebarang sifat dan akhlak yang tergolong dalam kategori akhlak buruk amat dibenci dan dikeji dalam pandangan Islam. Antara akhlak atau sifat mazmumah ialah menyengutukan Allah s.w.t., bohong, takbur, dengki, khianat, bakhil, marah dan sebagainya.


2.2 CIRI-CIRI AKHLAK TERCELA (MAZMUMAH)

•Ciri yang utama akhlak mazmumah itu adalah tidak bertaqwan kepada Allah s.w.t yang tidak berlandaskan melalui sumbernya yang agung iaitu al Quran dan as- Sunnah.
•Ingkar kepada Allah dan tidak ingin mendapat keredhaanNya
•Tidak takut kepada siksaanNya.
•Mudah berubah, tunduk kepada hawa nafsu dan kehendak tertentu.
•Tidak mencintaiNya dan tidak mengamalkan segala yang diperintahNya.
•Tidak menjadikan Islam sebagai sumber akhlak, yang akan melahirkan insan yang bersifat bakhil, takbur, maksiat, dusta dan menjauhi sifat-sifat tercela yang lain.

2.3 CONTOH AKHLAK TERCELA (MAZMUMAH)

a.Dengki
Dengki ialah perasaan iri hati atau rasa benci seseoerang. Biasanya perasaan ini timbul pada seseorang manusia bila mana dia melihat orang lain mendapat nikmat atau mempunyai kelebihan daripadanya kemudian dia mengharap semoga nikmat dan kelbihan yang ada pada orang lain itu hilang dan berpindah pada dirinya.
Sifat atau perasaan seperti ini adalah sifat mazmumah yang sangat dibenci oleh Allah bahkan Allah s.w.t telah mnegaskan di dalam al Quran;
وَلاَ تَتَمَنَّوا مَا فَضَّلَ اللهُ بِهِ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ

“ Dan janganlah kamu iri hati apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain.”
(Surah an-Nisak : 32)

Sifat dengki dapat menghabiskan segala amal kebajika seseorang sesuai dengan sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Jauhilah oleh kamu sifat dengki itu, bahawasanya perasaan dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu yang kering.”

Islam membolehkan dua perkara hasad iaitu:
i.Hasad kepada orang kaya yang pemurah. Dengan adanya perasaan hasad seperti ini, seseorang itu akan timbul pula hasrat atau azam dalam jiwanya bahawa kalau dia kaya seperti orang itu, dia sendiri pun akan berbuat demikian.

ii.Hasad kepada orang yang berilmu pengetahuan. Perbuatan hasad seperti ini dibolehkan dalam agama kerana ia akan menimbulkan suatu azam menuntut ilmu pengetahuan.


b. Fitnah
Fitnah dapat diertikan dengan menghasut yang bermaksud menyampaikan cakap seseorang kepada orang lain dengan menambah di sana-sini supaya orang yang mendengar menjadi benci dan naik radang. Perbuatan ini amat tidak disukai dalam Islam sebab orang yang menghasut itu tergolong dalam golongan orang yang fasik. Adapun Islam tidak menerima orang fasik itu sebagai saksi apa lagi untuk mendengar cakapnya.

Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam al Quran dari


يَأَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقُ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيْبُوا قَوْمًا بِجَهلَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ ندِمِيْنَ

“Hai orang yang beriman jika datang kepadamu orang yang fasik membawa perkhabaran hendaklah kamu periksa kebenarannya kerana ditakuti kalau-kalau kamu menganiaya seseuatu kaum dengan tiada pengetahuannya akhirnya kamu akan menyesal dengan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujarat : 6)


Perbuatan hasad ini diharamkan oleh Islam atas sebab-sebab:

•Perbuatan menghasut ini boleh menyebabkan pergaduhan dan permusuhan.
•Sebahagian besar daripada penghasut ini adalah berniat untuk memutuskan hubungan orang yang sudah sedia retak hubungannya.
•Akibat dari hasutan itu, banyak orang teraniaya.
•Orang yang hobinya menghasut biasanya lalai dari mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan dibenci oleh masyarakat, akhirnya perbuatan sendiri akan menganiaya dirinya kembali.

c. Bertengkar
Bertengkar dapat juga diertikan dengan berbantah. Secara takrif yang agak lebih tepat bertengkar dapat diertikan dengan bertukar fikiran untuk mencari kemenangan tanpa hakim. Dengan demikian setiap perbincangan yang hanya bertujuan untuk mencari kemenangan, kemegahan adalah tidak baik. Bertengkar yang dibolehkan adalah untuk mencari kebenaran.

Pertengkaran yang tidak diingini dalam Islam yang dapat menimbulkan perselisihan faham dan pergaduhan atau perkelahian akhirnya wujudlah pwrmusuhan. Inilah yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. melalui sebuah hadis yang bermaksud:” Tidak akan sesat sesuatu kaum sesudah diberi mereka petunjuk oleh Allah melainkan orang yang bertengkar.” (Riwayat Termizi dan Ibn Majah)

d. Mengumpat
Mengumpat ialah memperkatakan seseorang di belakangnya. Biasanya yang diperkatakan ini adalah sekitar kelakuan, keadaan badan, perangai dan sebagainya.

Dilihat dari segi bentuknya, mengumpat ini dapat dibahagi kepada tiga jenis:
i.Ghibbah – ialah memperkatakan keburukan seseorang di
belakangnya.
ii.Buhtan – ialah mereka-reka perkara dusta yang membabitkan seseorang untuk tujuan memburuk-burukkannya supaya harga dirinya jatuh di tengah masyarakat.
iii.Ifkun – iaitu menaburkan berita-berita fitnah yang didengar dari seseorang kemudian menyampaikannya kepada orang lain.

Ketiga-tiga perlakuan di atas termasuk kepada perlakuan mengumpat. Perbuatan ini adalah suatu tindakan yang sangat keji dan diharamkan dalam Islam malahan ia termasuk kepada golongan dosa-dosa besar, sebagaimana Allah s.w.t. telah menegaskan di dalam al Quran dalam surah al Hujarat: 12

لاَ تَجَسَّسُوا وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضَا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ
لَحْمَ أَخِيْهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوْهُ.

“ Dan janganlah engkau mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah engkau menghina kepada setengahnya. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati, maka tentulah kamu akan merasa jijik.”
(Surah al Hujarat: 12)


Seiring dengan ketegasan Allah s.w.t. ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Janganlah kamu berdengki-dengki, janganlah berbenci-bencian, janganlah berkeras-kerasan, janganlah memutuskan tali perhubungan, janganlah kamu mengumpat sesama kamu malahan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

2 PELANGGARAN AKHLAK

2.0 PENGENALAN

Masalah pelanggaran akhlak terbentang luas di hadapan kita dan tidak boleh disembunyikan lagi. Ia merupakan satu fenomena menyeluruh menghakis ketahanan dan kekuatan nilai-nilai Islam. Ia juga mempunyai misi dan visi terhadap pembangunan dan penerusan tamadun agama, bangsa dan negara. Berbagai-bagai krisis akhlak kini terus menular dalam masyarakat kita seperti rasuah, sumbang muhram, penderaan, pelacuran dan lain-lain lagi.

2.1RASUAH

Rasuah bukanlah fenomena baru. Ia adalah fenomena universal tanpa batasan waktu dan tempat. Tiada negara boleh mendakwa ia boleh bebas dari jenayah rasuah. Kewujudannaya bermula sejak sejarah peradaban manusia, dinodai oleh sifat-sifat tamak dan haloba. Rasuah merupakan suatu jenayah berat yang mudah menular dalam sistem hidup masyarakat.

Pengertian Rasuah
Perkatan rasuah berasal dari perkataan arab yang berbunyi al-risyuah. Mahmud Muhammad at-Tahani dalam kamusnya An-Nihayah Ibnu Athir memberikan definisi rasuah dari segi bahasa ialah sesuatu yang diberikan kepada seseorang untuk memutarbelitkan fakta iaitu untuk membatilkan yang hak atau membenarkan yang batil. Menurut istilah syarak, sebagaimana dikemukan oleh Yusuf al-Qardawi iaitu sesuatu yang diberikan kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan jawatan untuk memenangkan kesnya dengan menewaskan lawan-lawannya.



Punca Rasuah

Antara faktor terpenting yang menjadi punca rasuah kerana penglibatan golongan atasan yang berkuasa dalam kehidupan yang serba mewah. Justeru untuk memenuhi keperluan berbelanja dengan mewah, golongan atasan terpaksa melakukan rasuah.
Faktor kedua yang menyebabkan rasuah berkaitan rapat dengan sikap suka kepada kehidupan mewah. Ini kerana tabie manusia yang amat suka pada harta benda sebagaimana yang dijelaskan dalam al Quran: (Surah al-Fajr :20)
وَتُحِبُّوْنَ الْمَالَ حُبًّا جَمًّا

“Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.” (Surah al-Fajr :20)

Selain dari itu, lemahnya didikan agama dalam masyarakat pada masa ini menyebabkan masyarakat mudah terpengaruh dan terpedaya dengan jenayah rasuah.

Kesan Amalan Rasuah
Terdapat banyak kesan amalan rasuah yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat. Di antaranya ialah:

Berlaku ketidakadilan di kalangan masyarakat.
Berlaku permusuhan
Berlakunya penindasan terhadap orang yang lemah.
Banyak berlaku penipuan dan penyelewengan di dalam masyarakat ataupun organisasi pentadbiran.
Melemahkan dan memundurkan umat Islam dan negara.
Menjatuhkan kesucian ajaran Islam.
Dimurkai oleh Allah s.w.t.



Pandangan Islam Terhadap Amalan Rasuah

Islam adalah satu agama menolak dan mengharamkan amalan rasuah. Membenteras gejala rasuah dalam masyarakat adalah satu jihad sosial yang sangat utama demi keadilan yang dituntut oleh Allah s.w.t. Perbuatan seumpama itu dengan sendirinya mencemarkan Islam. Mereka bukan sahaja mengkhianati kepada rakyat secara umumnya malah dengan rasuah itu mereka telah mengakibatkan agama Islam juga tercela, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

اَلْرَاشِى وَالْمُرْتَشِى فِى النَِّار

“Pemberi dan penerima rasuah berada dalam neraka.”

Untuk manusia yang beriman, hadis di atas amat menakutkan tetapi buat mereka yang imannya sudah diselaputi oleh serakah duniawi sabda Rasulullah s.a.w. ini tidak mencecahkan ke hati nuraninya. Rasulullah s.a.w. juga meramalkan bahawa akan datang suatu zaman atas umat manusia di mana manusia menjadikan wang sebagai berhala mereka. Perut-perut mereka menjadi tuhan-tuhan mereka. Perempuan-perempuan menjadi kiblat mereka. Iman mereka sudah hilang kecuali namanya sahaja.

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah ditawarkan perempuan cantik , jawatan tinggi dan harta kekayaan oleh musyrikin Quraisy agar berhenti daripada berdakwah ke jalan Allah s.w.t. Apa yang nabi s.a.w. jawab ialah seandainya kamu letakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku nescaya aku sekali-kali tidak akan berhenti daripada menyampaikan ajaran tauhid tersebut. Demikianlah kentalnya iman rasulullah s.a.w. untuk tidak terlibat dengan gejala rasuah yang menjijikkan itu.



5.3.2 SUMBANG MAHRAM

Takrif Sumbang Mahram
Dari segi bahasa perkataan sumbang mahram bererti kelakuan yang tidak mematuhi adat. Berzina dengan orang yang tidak halal berkahwin (mengikut kamus dewan). Dari segi istilah sumbang mahram hubungan seksual di antara sesama anggota keluarga iaitu bapa dan anak perempuan, ibu dan anak lelaki, abang dan adik kandung, bapa dan anak tiri, ataupun datuk dan cucu.

Punca Berlakunya Sumbang Mahram

Gejala ini semestinya berpunca daripada kurangnya didikan agama dan kurang penerapan serta mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan individu dan institusi kekeluargaan.

Peranan media cetak dan elektronik yang berpengaruh di tengah-tengah masyarakat menawarkan kebebasan seks dan kerendahan moral. Keadaan seumpama ini mengajak anak-anak muda kita untuk mencuba sesuatu yang baru tanpa mengira mahram ataupun tidak.


Kurangnya penekanan dari segi pergaulan dan pemakaian di kalangan ahli keluarga seperti memakai pakaian yang mengghairahkan dan bebas dari segi tindakan tanpa mengira adat dan ajaran Islam

Tayangan video dan VCD lucah senang didapati di pasaran dan mereka dengan mudah dapat menonton video-video dan VCD-VCD tersebut di rumah ketika ibu bapa mereka sibuk bekerja dan mereka terdorong untuk mempraktikkan apa yang mereka tonton tanpa mengira apa akibatnya.

Sikap dan perlakuan ibu bapa menjadi ganas kerana hilang pertimbangan dan mempunyai maruah yang rendah menyebabkan mereka cenderung untuk mendera anak-anak mereka. Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan yang tidak berkemampuan untuk menahan dan menghadapi tekanan dan kekecewaan serta bergelumang dengan berbagai-bagai dosa.


Kesan Sumbang Mahram
i. Terhadap Individu

Ia akan merugikan individu itu sendiri iaitu perlu menanggung bebannya sendiri dan memalukan diri sendiri.
Menanggung sendiri masalah dan dosa terhadap Allah s.w.t.
Akan menyebabkan dibenci oleh masyarakat dan keluarganya sendiri dengan perbuatannya melakukan sumbang muhram.
Membawa keburukan dan kemudaratan kepada diri sendiri seperti dihinggapi penyakit AIDS.


ii. Terhadap Masyarakat

Akan dipandang hina oleh masyarakat dan akan dipandang serong oleh masyarakat itu sendiri.
Masyarakat susah untuk menerima individu yang melakukan sumbang mahram.
Malu untuk berhadapan dengan masyarakat.
Rumahtangga akan menjadi porak-peranda.

iii. Terhadap Negara

Imej negara akan terjejas kerana masalah gejala sosial semakin bertambah khususnya sumbang mahram di kalangan masyarakat.
Menambah beban negara dari segi penubuhan pusat-pusat perlindungan terhadap mangsa-mangsa sumbang mahram.
Masyarakat akan berpecah-belah dan akan menimbulkan masalah kepada negara.


Pandangan Islam Terhadap Sumbang Mahram

Sumbang mahram amat dibenci oleh Allah s.w.t kerana ia menodai pertalian suci kekeluargaan dan sekaligus mampu menjadi punca perpecahan keluarga umumnya serta perbalahan umat Islam khasnya. Firman Allah s.w.t
وَلاَ تَقْرَبُوْا الزِّنَا
“Dan janganlah kamu menghampiri zina.”

•Allah s.w.t. telah menjelaskan dalam ayat tersebut bahawa Islam melarang umatnya mendekati apa saja unsur perzinaan kerana jenayah sumbang mahram juga merupakan salah satu daripada perzinaan dan ia boleh terjadi dengan berlakunya rogol, zina, persetubuhan di antara yang mempunyai hubungan kandung atau bersaudara (muhram). Ia biasanya boleh berlaku sama ada secara paksa, rela atau tidak disedari oleh mangsa. Kebanyakan mangsa berlaku kepada golongan kanak-kanak bawah umur.

•Ulamak berselisih dalam menentukan hukuman ke atas pesalah zina dengan mahram. Ada di kalangan mereka menghukumkan pesalah jenayah ini dengan hukuman zina iaitu rejam atau seratus kali sebatan berdasarkan status muhsan atau tidak.

•Ada pendapat yang mengatakan mereka dihukum mati jika mahram itu ialah mahram muabbad iaitu yang haram kahwin selamanya dan ada kalangan berpendapat pesalah dihukum dengan hirabah iaitu bunuh jika ia desertakan dengan paksaan. Abdul Karim Zaidan menyokong pendapat pesalah zina mahram (haram muabbad) dibunuh.


5.3.3 SIFAT PUTUS ASA, MALAS DAN TIDAK BERSUNGGUH-SUNGGUH

Sifat Putus Asa
Dalam mengejar cita-cita untuk bahagia dan berjaya, biasanya kebanyakan daripada kita akan menghadapi sedikit sebanyak rintangan dan halangan. Namun begitu, ada juga segolongan yang terpaksa menghadapi rintangan dan halangan yang amat perit dan tidak pernah putus-putus. Andai kata kita termasuk ke dalam golongan kedua itu, jangan sekali-kali kita mudah hilang semangat, berpatah hati dan berputus asa.

Kita hendaklah menyedari bahawa kesemua rintangan dan halangan tersebut adalah dugaan daripada Allah s.w.t. Semakin besar dugaan yang terpaksa ditempuh, semakin besarlah ganjaran atau rahmat yang akan diterima Allah s.w.t kelak. Putus asa terhadap rahmat Allah s.w.t adalah salah satu daripada dosa besar.

Sifat putus asa adalah sebesar-besar lawan kepada sifat sabar. Orang yang berputus asa ialah orang yang hilang kesabarannya. Apabila jiwa telah diresapi sifat putus asa maka pudarlah cita-cita, keringlah pengharapan pada rahmat Allah s.w.t., tiadalah lagi daya dan keinginan untuk terus berusaha dan berjuang.

Sifat lekas putus asa dalam menghadapi dugaan dan perjuangan memperbaiki hidup serta cepat hilang kesabaran dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t. samalah dengan mensia-siakan amalan peribadatan dan perhambaaan kepadaNya. Firman Allah s.w.t.

وَلاَ تَايْئَسُوْا مِنْ رَوْحِ اللهِ إِنَّهُ لاَ يَايْئَسُ مِنْ رَوْحِ اللهِ
اِلاَّ القَوْمُ الكفِرُوا

“Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya tiadalah yang berputus asa dari rahmaat Allah melainkan kaum yang kafir.”
(Surah Yusuf : 87)


Kita tidak perlu berputus asa jika kita sedar setiap rintangan dan halangan itu semua ujian dari Allah s.w.t. Kita juga tidak perlu berputusa asa jika kita insaf bahawa rintangan dan halangan yang menimpa kita itu merupakan pertanda-petanda sayang Allah s.w.t. terhadap kita. Allah s.w.t. berfirman



وَاصْبِرُوْا إِنَّ اللهَ مَعَ الصَّبِرِيْنَ

“Dan bersabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal
hati. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar.”
(Surah al-Anfal : 46)

Perjuangan dalam hidup mestilah teguh dan tetap dan hadapilah segala cabaran dengan cekal sambil teguh mengingati Allah s.w.t. supaya kita sentiasa terus-menerus dalam pemeliharaanNya serta mesti yakin sepenuhnya bahawa Allah s.w.t. tetap bersama kita. Sebagaimana firman Allah s.w.t.

فَلاَ تَوَلُّوْهُمُ الأَدْبَارَ

“ Maka janganlah kamu berpaling undur.” (Surah al-Anfal : 15)

Perjuangan hidup kita akan dirahmati Allah s.w.t. selagi matlamatnya dalah untuk kesejahteraan dunia dan akhirat sebagaimana firman Allah s.w.t


مَا أَصَابَكَ مِنْ مُصِيْبَةٍ اِلاَّ بِإِذْنِ اللهِ وَمَنْ يُؤْمِنُ بِاللهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

“Tidak ada kesusahan yang menimpa melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memberi petunjuk kepada dirinya.” (Surah at-Taghabur:11)












MALAS

Sifat malas hampir sama dengan keadaan lemah jiwa dan sama-sama merupakan sumber kegagalan dan kemunduran. Malas adalah sikap mental yang menunjukkan ketiadaan ghairah dan semangat kerja.

Sebab Timbulnya Sifat Malas

 Lesu rohani kerana kuat bekerja.
 Keadaan fizikal yang tidak normal.
 Pengaruh persekitaran.
 Kekurangan pendidikan.
 Pengaruh keturunan.

Ciri-Ciri Malas

 Sikap lesu
 Bersikap acuh tak acuh
 Hilang kemahuan dan tenaga.


Kesan Buruk Sifat Malas

 Lumpuhnya semangat bekerja sehingga orang yang terkena penyakit malas tersebut akan menjadi beban masyarakat. Dia hanya mahu dilayani orang tetapi tidak dapat melayani orang lain.

 Mengakibatkan kebodohan, kebekuan dan kemunduran.

 Menimbulkan penderitaan zahir dan batin, hanya orang yang bersungguh-sungguh dapat memenuhi kehendak hidupnya.

 Terbuangnya waktu tanpa makna. Hari-hari dilalui dengan kehampaan, umur habis tanpa jasa dan amal soleh. Tiada kesan dan tiada yang patut untuk dikenang selama hayat dikandung badan.

Cara Mengatasi Sifat Malas

 Kesedaran akan bahaya sifat malas akan merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.

 Kesedaran akan pentingnya waktu dan nilai hidup.

 Sentiasa berpegang dengan ajaran Islam dan beristiqamah dalam sesuatu pekerjaan yang dilakuakn.

 Mempunyai sikap ingin maju dan berdaya saing.



SIKAP TIDAK BERSUNGGUH-SUNGGUH

Takrif
Sikap tidak bersungguh-sungguh ialah melakukan sesuatu perkara dengan tidak memberi perhatian dengan sepenuhnya atau dalam erti kata melakukan perkara dengan sambil lewa.

Punca Sikap Tidak Bersungguh-Sungguh

 Mengambil mudah terhadap sesuatu perkara, seperti hanya melepaskan batuk di tangga.

 Tidak berminat di dalam melakukan sesuatu perkara serta tidak memberi tumpuan dengan sepenuhnya.

 Menghadapi tekanan perasaan dan gangguan emosi seperti mencampur-adukkan masalah peribadi dengan perkara yang hendak dilakukan.

 Malas, berlengah-lengah membuat sesuatu perkara (bertangguh-tangguh) dan melebihi perkara yang tidak penting.

 Memilih jalan yang salah terhadap sesuatu perkara serta cemburu atau dengki terhadap kejayaan orang lain dan sebagainya.


Kesan Sikap Tidak Bersungguh-Sungguh

 Sesuatu pekerjaaan yang dilakukan tidak dapat diselesaikan dengan sempurna dan tertangguh.

 Hasrat tidak akan tercapai dan kejayaan tidak akan diperolehi kerana tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh.

 Seseorang itu akan rugi dan tidak akan disenangi oleh masyarakat.

 Akan ketinggalan dalam sesuatu perkara serta akan menghadapi tekanan perasaan dan sebagainya.


Cara-Cara Mengatasi Sikap Tidak Bersungguh-Sungguh

 Melakukan sesuatu pekerjaan dengan sepenuh hati dan ikhlas.

 Selalu berdoa dan melakukan ibadat kepada Allah s.w.t. supaya tidak ada sikap buruk tersebut dan memperolehi keyakinan diri.

 Sentiasa mendampingi orang yang bersungguh-sungguh dan baik seperti mencari sahabat yang boleh membimbing dan memberikan semangat kepada seseorang.

 Membuat atau menyelesaikan perkara yang mudah dahulu sebelum melakukan perkara yang susuah dan sebagainya.


KESIMPULAN

Sikap putus asa, malas dan tidak bersungguh-sungguh adalah suatu sikap yang tidak baik bagi seseorang itu tanpa mengira usia dan akan menyebabkan hidup kita akan sentiasa tidak terurus, teratur dan mudah melakukan perkara-perkara yang tidak baik, sebagaimana firman Allah s.w.t.

وَلاَ تَهِنُوْا وَلاَ تَحْزَنُوْا وَأَنْتُمُ الاَعْلَوْنَ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِيْنَ

“ Dan janganlah engkau merasa emah dan berduka cita (terhadap apa yang menimpa kamu) pada hal kamulah orang yang tertinggi jika kamu orang yang sungguh-sungguh beriman.
(Surah Ali-Imran : 139)