ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP
1.0 PENGENALAN.
Islam adalah agama yang benar dan diredhai oleh Allah s.w.t. Ia adalah suatu cara hidup yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan setiap mukmin. Cara hidup mukmin yang diterima Allah mestilah berteraskan kepada asas aqidah Islam. Aqidah mukmin memerlukan kesepaduan antara iman, islam dan ihsan untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.Ajaran Islam hendaklah dihayati secara menyeluruh seperti mana ia diturunkan sama ada dalam bentuk aqidah atau syariat yang bersumberkan al Quran dan as-Sunnah. Setiap muslim tidak terkecuali dari mengikut seluruh ajaran Islam.
1.1 ERTI PERKATAAN ISLAM
1.Islam berasal daripada bahasa Arab ‘aslama’. Dari segi bahasa ia bermaksud taat, patuh, berserah diri, selamat dan sejahtera.
2.Dari segi istilah syarak pula, Islam memberi makna tunduk dan patuh serta menyerah diri kepada Allah s.w.t. dengan beriman kepadanya dan mengamalkan segala ajaran yang dibawa oleh rasulNya.
3.Islam menurut pengertian khusus adalah agama yang diajarkan oleh nabi Muhammad s.a.w.
4.Menurut pengertian umum Islam bererti agama yang diajar oleh semua nabi dan rasulullah s.a.w. bermula dari nabi Adam hingga nabi Muhammad s.a.w. tetapi perlu diingat hanya agama yang masih aslidan murni mengikut ajaran rasul dikira sebagai Islam. Sekiranya ajaran tersebut telah berubah dari ajaran asalnya maka ia tidak dianggap sebagai agama Islam.
5.Ciri-ciri agama Islam ialah bersifat rabbani, syumul, sejagat, umum, universal, tetap dan ada balasan di dunia dan akhirat.
1.2 ERTI PERKATAAN MUSLIM
Muslim bererti individu yang beragama Islam dengan erti kata orang yang beriktikad dengan konsep syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t. dan nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah s.w.t, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.;
اِنَّ المُسْلِمَ اِِذَا سُئِلَ فِي القََبْرِ شَهِدَ أَنْ لآ اِله الا الله وَأنَّ مُحَمَّدًٌﺍ
رََسوْلُ الله.
"Bahawasanya seseorang muslim itu apabila disoal dalam kubur dia naik saksi bahawasanya tidak ada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya nabi Muhammad itu utusan Allah.”
Ciri-Ciri Muslim Sejati
Orang yang menganut Islam dipanggil muslim. Seseorang yang mengaku dirinya beragama Islam mestilah sentiasa bertawakkal kepada Allah s.w.t, tidak mensyirikkan Allah s.w.t, sentiasa memastikan orang lain dalam keadaan sejahtera, sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan sentiasa menjadikan al Quran sebagai panduan dalam seluruh aspek kehdiupan.
1.3 PENGERTIAN AD-DIN
Ad-Din bermaksud agama atau cara hidup yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t yang mencakupi kekuasaan Allah s.w.t. yang mutlak, penyerahan lahir dan batin kepadanya, iman dan amalan di bawah pengawasannya serta ganjaran baik dan buruk.
Di dalam dunia ini terdapat banyak agama tetapi hanya satu agama sahaja yang dipanggil ad-Din iaitu agama Islam. Ia disebut ad-Din kerana:
a.Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah s.w.t sebagaimana firmanNya
اَليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَأَتْمَمْتُ ‘عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيْتُ لَكُمُ
اْلاِسْلمَ دِيْنَا
” Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku cukupkan kepada kamu dan aku redha Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
(Surah al-Maidah: 3)
b.Islam mampu menyelesaikan semua persoalan dan masalah hidup manusia.
c.Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anbiyak
وَمَا اَرْسَلنكَ إِِلاَّ رَحْمَةً لِلْعاَلَمِيْنَ
“Tidak aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk memberi rahmat pada seluruh alam.”
d.Islam adalah agama yang dapat melahirkan insan yang beriman dan bertakwa kepada allah s.w.t. serta membentuk insan yang soleh.
e.Ajaran Islam merangkumi semua bidang kehidupan seperti perkara yang berkaitan dengan ekonomi, politik, sosial, perundangan dan pemerintahan.
1.4 PENGERTIAN ISLAM SEBAGAI AD-DIN
Islam merupakan agama yang benar yang datang dari Allah s.w.t. dan diturunkan untuk seluruh makhluk dan alam semesta. Islam diertikan sebagai ad-Din kerana:
a.Ia merupakan agama yang terakhir diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. dan merupakan agama yang lengkap dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat dan semua zaman.
b.Ia adalah satu-satunya agama yang diakui benar dan diterima oleh Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t.
إِنَّ الدِيْنَ عِنْدَ اللهِ الإِسْلم ُ
“Sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah s.w.t. hanyalah Islam.” (Surah Ali Imran : 19)
c.Ajaran Islam merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Ia memberi petunjuk dan panduan kepada manusia untuk menjalani kehidupan di dunia menuju ke arah keredhaan Allah s.w.t.
Oleh itu, sesiapa yang menganut selain daripada agama Islam bermakna dia telah memilih jalan ke arah kemusnahan dan kehancuran. Di samping itu, ia termasuk di dalam golongan sesat dan dimurkai Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah s.w.t.
وَمَنْ يَبتَغِ غَيْرَ الإِسْلاَمَ دِينَا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى الاَخِرَةِ
مِنَ الْخَاسِرِيْنَ
“Barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidaklah akan diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi.” (Surah Ali Imran:85)
d.Ajaran Islam bersumberkan al Quran dan as Sunnah. Kedua-duanya merupakan rujukan utama umat Islam sebagaimana sabda rasulullah s.a.w.
تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوْا مَا إِِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِِهِمَا أَبَدًا
كِتَابَ الله وَسُنَّةِ رَسُوْلِهِ.
"Aku tinggal untuk kamu semua (wahai umat Islam) dua perkara kamu tidak akan sesat selama-lamanya selepas aku tiada lagi selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya iaitu al Quran dan as-Sunnah.”
e.Islam bersifat universal dan sejagat. Ajarannya sesuai untuk semua peringkat manusia, semua tempat, semua bangsa dan kaum serta semua masa dan zaman. Ini adalah kerana ia diturunkan oleh Allah s.w.t. yang menjadikan semua manusia serta mengetahui keadaan mereka.
KONSEP KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN DALAM ISLAM
2.0 PENGENALAN
Islam menggalakkan kemajuan bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat berlandaskan kepada syariat Allah s.w.t. agar manusia dapat menjalankan tugas khilafah (khalifah Allah) dan ubudiyah (mengabdikan diri kepada Allah s.w.t serta supaya manusia tidak tersalah jalan dalam memajukan alam ini. Sejarah membuktikan bahawa kejayaan dan kecemerlangan sejak zaman awal Islam adalah kerana kekuatan iman umat Islam itu sendiri, berpaksikan kepada ketakwaan kepada Allah s.w.t. serta menjalankan tugas dan tanggungjawab berasaskan kepada al Quran dan as-Sunnah.
1.2.1 ERTI KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN MENURUT ISLAM
Kejayaan dan kecemerlangan dalam Islam bererti suatu kemenangan yang diperolehi daripada usaha yang gigih untuk mencapai segala yang dicita-citakan berasaskan strategi yang ditentukan.
Orang yang cemerlang ialah orang yang menang, iaitu orang yang dapat mengatasi pelbagai rintangan. Kemenangan yang paling besar ialah kemenangan mengatasi nafsu-nafsu yang jahat yang ada dalam diri sendiri. Oleh kerana itulah kekuatan iman menjadi kunci utama bagi membebaskan diri dari penghambaan hawa nafsu.
Orang yang berjaya dan cemerlang juga ialah orang-orang yang paling bertakwa di kalangan orang- orang yang beriman. Mereka sentiasa berhati-hati, menjaga diri, beriman dengan perkara-perkara ghaib, melaksanakan pokok-pokok ibadah dan selalu memohon keampunan (maghrifah) Allah iaitu bersegera memohon ampun kepada Allah s.w.t jika tersalah atau terlupa. Mereka juga sentiasa mengadakan hubungan kemanusiaan yang baik seperti beradab, bersopan-santun dan berbudi-bahasa dengan pelbagai manusia tanpa mengira kaum dan agama, rakyat dan pemimpin, pekerja dan majikan, pendidik dan pelajar, orang muda dan orang tua, ibu bapa dan anak, serta suami dan isteri. Takwa ialah satu motivasi moral yang sangat kuat untuk manusia membangunkan dirinya dan tamadun secara berakhlak dengan sifat-sifat mahmudah. Ia juga boleh membangun peradaban yang tinggi atas dasar tiada paksaan terhadap penganut mana-mana agama yang lain.
Selain itu ilmu pengetahuan juga menjadi kunci utama untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Penguasaan ilmu agama yang sahih lagi benar dan ilmu pengetahuan yang kemaskini dengan teknologi canggih yang tidak merosakkan alam adalah suatu perkara yang diperlukan untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Antara aspek-aspek kejayaan dan kecemerlangan yang dikehendaki oleh Islam ialah meliputi bidang politik, pemerintahan, perundangan, kesenian, kesusasteraan, kebajikan sosial, sistem kekeluargaan, kemasyarakatan, pendidikan dan lain-lain lagi.
a. Di bidang ekonomi, kejayaan dan kecemerlangan boleh dicapai
melalui garis panduan yang ditentukan oleh syariat Islam iaitu:
Islam tidak melarang umatnya memiliki harta jika didapati daripada sumber yang halal dan menunaikan tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah s.w.t
Islam memelihara semua kepentingan dengan undang-undang dan peraturan yang diperlukan dalam berbagai perkara seperti jual beli, hutang-piutang, perdagangan dan perusahaan.
Harta kekayaan adalah milik Allah s.w.t. dan manusia harus memanfaatkan harta tersebut dengan sewajarnya.
Untuk menjamin kekayaan diagihkan dengan adil, umat Islam diwajibkan supaya menjadi pengurus, pentadbir dan pemerintah yang bertanggungjawab.
Ekonomi yang mantap dan terkawal dapat mengelakkan kemiskinan, dapat menyempurnakan kelima-lima rukun Islam, serta meraih banyak pahala daripada infak iaitu membelanjakan harta ke jalan Allah s.w.t., sedekah dan wakaf dan menggunakan harta untuk perkara-perkara yang berfaedah.
b.Untuk mencapai kejayaan di bidang politik pula Islam menggariskan pula perkara-perkara yang berikut iaitu:
Umat Islam hendaklah memilih orang yang benar-benar berkelayakan untuk menjadi khalifah, imam atau sebagainya mengikut dasar-dasar yang telah ditentukan oleh al Quran dan as-Sunnah.
Khalifah bertanggungjawab memastikan syariat Allah s.w.t. dijalankan dalam negara yang dipimpin serta syariat Islam terlaksana dengan sempurna.
Khalifah bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan negara untuk menjamin keadilan dan hak rakyat ditadbir dengan sebaik-baiknya.
c.Di bidang sosial pula, perhubungan hendaklah menurut peraturan pergaulan yang disyariatkan Allah s.w.t. iaitu:
Manusia dilarang bergaul menurut kehendak hawa nafsu kerana ini akan merosakkan kehidupan dan menjadikan hidup seperti haiwan.
Islam menggalakkan semua orang hidup dengan bekerjasama dan tolong-menolong.
Kebebasan beragama yang diberikan oleh Islam kepada seluruh manusia adalah bertujuan mencapai keharmonian dan ketenteraman dalam hidup.
Islam menganjurkan persaudaraan bagi seluruh manusia tanpa mengira kedudukan, harta dan rupa.
Pelaksanaan keadilan bagi semua manusia mestilah dilakukan bagi membina keamanan.
Setiap orang bertanggungjawab menjaga keharmonian antara kaum dengan mengamalkan sifat hormat-menghormati antara satu sama lain.
1.2.2 PERBEZAAN KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN MENURUT FAHAMAN SEKULAR DAN ISLAM
Sekularisme dalam bahasa Inggeris membawa slogan “Leave the Church to the God and leave the state to the Caesar” yang bermaksud “Serahkan urusan gereja (agama) kepada Tuhan dan serahkan urusan negara kepada pemerintah.” Ini bermaksud pemisahan urusan keduniaan manusia seperti ekonomi, politik dan social daripada sebarang peranan keagamaan dan pengaruh ketuhanan.
FAHAMAN SEKULAR FAHAMAN ISLAM
Pemisahan urusan keduniaan manusia seperti kehidupan harian, ilmu pengetahuan, pemerintahan dan pentadbiran negara daripada sebarang pengaruh agama. Kesannya kejayaan yang dicapai turut melahirkan mansuia yang rosak akhlaknya, musnah institusi kekeluargaan dan hancurnya sisitem kemanusiaan.
Untuk mencapai kejayaan, Tuhan tidak mempunyai peranan dalam menentukan corak kehidupan manusia dan manusia bebas melakukan apa sahaja untuk mencapai tujuan hidup.
Islam telah menetapkan syariat sebagai penentu atau garis panduan hubungan manusia sesama manusia serta hubungan manusia dengan Pencipta iaitu Allah s.w.t. Pengasingan peranan agama daripada urusan hidup keduniaan untuk mengejar kejayaan akan membawa manusia ke arah kerosakan dan kebinasaan kerana syariat sahajalah yang menentukan landasan sebenar hidup manusia.
Allah s.w.t. adalah sumber segala ilmu pengetahuan. Manusia tidak akan mampu untuk memikirkan segala kejadian di alam ini tanpa petunjuk dari agama melalui ayat-ayat al-Quran.
1.2.3 KEJAYAAN DAN KECEMERLANGAN YANG MELIPUTI DUNIA DAN AKHIRAT
Di dalam surah al Mukminun: 1 hingga 11 Allah s.w.t. menjelaskan bahawa orang yang mempunyai sifat-sifat berikut adalah orang yang berjaya iaitu:
Khusyuk dalam solat.
Meninggalkan perkara-perkara yang sia-sia. (lagha)
Mengeluarkan zakat.
Menjaga kehormatan.
Memelihara amanah dan janji.
Memelihara solat.
Mereka yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut, Allah s.w.t. menjanjikan kejayaan kepada mereka di dunia dan akhirat; dan akan diberi ganjaran syurga firdaus.
Selain daripada perkara-perkara di atas, umat Islam hendaklah :
Sentiasa menjadikan Allah s.w.t. dan rasulNya sebagai sumber rujukan dan pengharapan.
Menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya di dalam kehidupan. Mukmin yang teguh imannya akan bersedia menghadapi berbagai cabaran untuk mencapai kejayaan.
Mengimbangi keperluan jasmani, rohani dan akal sehingga ketiga-tiganya berfungsi secara harmonis lalu mengiktiraf kedudukan Allah s.w.t. sebagai penguasa, pemilik, pentadbir seluruh alam dan sumber hukum sebaik-baiknya.
Sentiasa menyedari dan menginsafi akan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
Sentiasa berusaha untuk memahami dan menyebarkan ilmu di samping mengamalkannya untuk pembangunan ummah.
Menggunakan tenaga yang ada untuk berjihad dan membangunkan ummah.
Berdisiplin dan berkhidmat di semua lapangan bagi melicinkan pergerakan untuk menjayakan pembangunan negara, masyarakat dan individu itu sendiri.
Dedikasi dan kesungguhan dalam menjalankan tugas akan dapat menjamin keutuhan ummah dan membentuk perpadauan di antara satu sama lain.
Umat Islam hendaklah bersifat sabar, tawakal serta berani menghadapi tentangan dan halangan dalam melaksanakan ajaran Islam dan menegakkan keadilan.
Menyedari bahawa kejayaan yang diperolehi adalah kurniaan Allah s.w.t dan sentiasa berasyukur di atas nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t serta bijak menggunakan kurniaan itu ditempat yang wajar.
KESIMPULAN
Kecemerlangan dan kejayaan mestilah dibangunkan sendiri dan bukannya dibangunkan oleh orang lain untuk kita tumpang kemegahannya. Bukan cemerlang namanya jika bangunan mencecah awan, atau kenderaan bagaikan peluru, atau peralatan yang cekap dan canggih itu didirikan oleh orang tetapi yang ada pada kita ialah modal sedangkan modal itu hanyalah hasil bumi tinggalan nenek moyang kita sendiri tetapi kita tidak tahu cara mengeluarkannya. Apa bentuk kejayaan sekalipun, terasnya ialah akidah dan ketaatan kepada Allah s.w.t., kemudian jika segenap kemampuan akal, jasmani dan rohani digilap dan dipergunakan maka wujudlah insan-insan yang cemerlang di dalam bidang masing-masing menurut bakat dan kemampuan yang dikurniakan Allah s.w.t.
KONSEP KEBAHAGIAAN DALAM ISLAM
1.3.0 PENGENALAN.
Manusia di dalam hidupnya di muka bumi ini memang mempunyai keinginan mencari kebahagiaan dan ketenangan. Kebahagiaan merupakan impian semua orang, baik ia seorang pemimpin atau rakyat biasa, para hartawan yang tinggal di mahligai-mahligai besar ataupun orang-orang miskin yang melarat. Tiada seorang pun yang mahukan penderitaan dan kesengsaraan di dalam kehidupannya.
Ramai orang yang menganggap bahawa kebahagiaan hidup itu terletak kepada limpahan harta kekayaan, pangkat dan kedudukan, kecukupan hidup, kesempurnaan jasmani dan kesihatan, kewibawaan, bakat, kekuatan dan kemasyhuran. Manusia sanggup bertungkus-lumus bekerja dan mengorbankan hartanya semata-mata bagi memperolehi kebahagiaan yang ingin mereka kecapi.
1.3.1 ERTI KEBAHAGIAAN MENURUT ISLAM
Pengertian umum kebahagiaan ialah gembira, kesukaaan dan keseronokan. Menurut ilmu jiwa, kebahagiaan ialah suasana perasaan hati yang menunjukkan kepuasan dan dihayati secara individual. Pada pandangan Islam, kebahagiaan ialah perasaan yang menimbulkan ketenangan (sakinah), ketenteraman (mutmainnah), keamanan batin, pengharapan, kepuasan, cita-cita dan kasih sayang yang bersumberkan keimanan.
Melalui pelbagai kalimat dan pernyataan, di dalam al Quran diungkapkan adanya kebahagiaan, kesenangan, kegembiraan, kenikmatan, kesejahteraan, kelazatan, kemuliaan dan sebagainya yang merupakan tumpuan dan harapan manusia dalam kehidupannya. Pernyataan tersebut mengandungi kesenangan yang bersifat sementara, mendorong manusia mencapai kebahagiaan dan jalan-jalan yang perlu ditempuh untuk mendapatkannya.
Pernyataan-pernyataan tersebut dikemukakan dalam pelbagai ungkapan, antara lain seperti berikut:
Lazzah, lazat, enak atau sedap:
وَفِيْهَا مَا تَشْتَهِيْهِ الأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الأَعْيُنُ وَأَنْتُمْ فِيْهَا خَالِدُوْنَ
"Dan adalah di syurga itu terdapat apa-apa yang diinginkan oleh nafsu-nafsu, dan dirasa enak oleh pandangan-pandangan dan di dalamnya kamu akan kekal. ( Surah az-Zukhruf:71)
Mata’ ; perhiasan atau kesenangan:
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوْبُوْا اِلَيْهِ يُمَتِّعُكُمْ مَتَاعًا حَسَنَا
اَِِلَى أَجَلٍ مُسَمَّى. .
"Dan hendaklah kamu minta ampun kepada Tuhanmu, kemudian kembalilah kepadanNya, tentu ia akan berikan kepadamu satu kesenangan yang baik hingga satu masa yang tertentu." (Surah Hud:3)
Ni’mah yang bererti nikmat atau kesenangan.
اَلَمْ تَرَوْا أَنَّ اللهَ سَخَّرَ لَكُمْ مَا فِى السَّموَاتِ وَمَا فِى الاَرْضِِ
وَأَسْبَغَ عَلَيْكُمْ نِعَمَهُ ظَاهٍرَةً وَبَاطِنَةً
"Tidakkah kamu lihat bahawa Allah telah menudahkan untuk kamu apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi dan Ia telah sempurnakan atas kamu nikmat-nikmatNya yang zahir dan yang batin. (Surah Luqman:20)
Dengan ungkapan-ungkapan tersebut, nyatalah persesuiannya dengan fitrah manusia yang diciptakan Allah s.w.t. allah yang menciptakan kecenderungan manusia mencari kebahagiaan, merasakan kelazatan dan menikmati ketenangan hidup dan fitrah tersebut ditegaskan pula melalui firmannNya.
Menurut al Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w kebahagiaan terbahagi kepada dua jenis iaitu:
a.Kebahagiaan Sementara:
Iaitu kebahagiaan yang boleh terputus, terhenti ataupun hilang daripada seseorang sebagaimana firman Allah s.w.t
قُلْ مَتعُ الّدُنْيَا قَلِيْلٌ وَالآخِرَةُ خَيْرٌ لِمَنِ اتَّقَى وَلاَ تُظْلَمُوْنَ
فَتِيْلاَ
“Katakanlah wahai Muhammad, Kesenangan di dunia ini adalah sebentar sahaja; dan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa dan kamu tidak akan dianiaya sedikit pun.”
(Surah an-Nisak : 77)
Nas-nas di atas menjelaskan bahawa kesenangan dan kebahagiaan yang diperolehi manusia dalam hidup ini semuanya terbatas pada suatu batas waktu tertentu. Contohnya kebahagiaan yang dikecapi kerana memiliki pangkat dan darjat kebesaran, di mana ia tidak akan kekal dimiliki selama-lamanya kerana selepas beberapa tahun berlalu, dia pasti sampai kepada usia bersara dan kemudian menjadi orang biasa semula.
b.Kebahagian Abadi:
Iaitu kebahagiaan yang kekal, terus menerus dimiliki dan tidak hilang daripada seseorang. Islam menganjurkan kepada umatnya supaya sentiasa berusaha mencari kebahagiaan yang abadi yang dinikmati ketika di dunia dan berkekalan sehingga ke akhirat. Rasulullah s.a.w. juga mengajar manusia supaya sentiasa berdoa memohon kepada Allah s.w.t. supaya diberi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat dengan doa yang terkandung di dalam firman Allah s.w.t.
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“ Dan di antara mereka ada yang berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.”
(Surah al-Baqarah : 201)
1.3.2 CIRI-CIRI KEBAHAGIAAN DALAM ISLAM
Menurut Prof. Muhammad Ali-al Shabuni dalam kitab tafsirnya, Sofwah at-Tafsir, ciri-ciri kebahagiaan di dunia dan akhirat seperti yang terkandung di dalam ayat di atas adalah kebahagiaan yang meliputi:
•Memperolehi kesihatan fizikal dan mental.
•Memiliki ilmu yang memberikan manfaat.
•Melakukan perbuatan amal yang soleh.
•Ikhlas dalam beramal ibadah.
•Mendapat keredaan Allah s.w.t.
•Disenangi oleh masyarakatnya.
•Merasa puas dengan harta yang ada.
•Rumah tangga yang aman dan tenteram, mendapat isteri yang solehah dan anak-anak yang soleh.
•Mendapat keselamatan daripada siksaan di dalam kubur.
•Menempuhi peperiksaan yang mudah di hari akhirat kelak.
•Dipersilakan masuk ke syurga dengan penuh nikmat kesenangan dan mendapat kepuasan yang abadi.
1.3.3 FAKTOR-FAKTOR UNTUK MENCAPAI KEBAHAGIAAN
Di dalam al Quran, berulang kali Allah s.w.t. menyatakan kebahagiaan yang abadi hanya dapat diperolehi melalui iman dan amal soleh seseorang. Hanya keimanan yang teguh dan benar serta amal perbuatan yang baik, taat melakukan ibadat kepada Allah s.w.t serta mengikut contoh tauladan Rasulullah s.a.w. sahaja yang menjanjikan kebahagiaan yang abadi di dunia dan akhirat.
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أََوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحِيَنَّهُ حَيوةً
طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِِاَحْسَنِ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ
“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.”
(Surah an-Nahlu : 97)
Antara faktor-faktor untuk mencapai kebahagiaan ialah:
a.Bersungguh-sungguh melakukan ibadat.
Umat Islam diminta membahagikan masa hidupnya dengan melakukan pekerjaan bagi menyara hidupnya pada waktu siang dan membanyakkan amal ibadat di malam hari. Waktu malam selain daripada untuk berehat dan tidur, juga merupakan waktu yang sangat sesuai bagi melakukan solat-solat sunat, berzikir pada Allah s.w.t., membaca al-Quran, berdoa kepada Allah s.w.t. dan lain-lain ibadat yang sunat. Firman Allah s.w.t
وَجَعَلْنِا الَّيْلَ لِبَاسًا وَجَعَلْنَا الّنَهَارَ مَعَاشًا.
“Dan Kami jadikan malam sebagai pakaian dan Kami jadikan siang bagi mencari penghidupan.” (Surah an-Nabak : 10 )
Allah juga berfirman;
وَالَّذِيْنَ يَبِِيْتُوْنَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا
“Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.” (Surah al-Furqan : 64 )
b.Menjauhi Perbuatan Dosa Dan Maksiat.
Orang yang ingin memperolehi kebahagiaan yang abadi hendaklah menjaga dirinya daripada dosa-dosa yang merosakkan jiwanya dan seterusnya membawa dia kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan dia hendaklah juga sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada azab siksa api neraka sebagaimana firman Allah s.w.t.
وَالَّذِيْنَ يَقُوْلُوْنَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّم إِنّ عَذَابَهَا كَانَ
غَرَامَا
“Dan orang-orang yang berkata, Wahai tuhan Kami jauhkanlah azab neraka jahanam daripada kami kerana sesungguhnya azab neraka itu adalah kebinasaan yang kekal.”
(Surah al- Furqan: 65 – 66)
c.Amal Soleh, Kebaktian atau Takwa.
Amal soleh dan takwa adalah rantai keimanan yang mendapat jaminan kebahagiaan bagi sesiapa yang melaksanakannya, sebagaimana firman Allah s.w.t.
اَلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا وَعَمِلُوْا الصَّالِحَاتِ طُوْبَى لَهُمْ وَحُسْنُ مَآب.
“Orang-orang yang beriman dan beramal saleh adalah kebahagiaan bagi mereka dan mendapat tempat kembali yang baik.” (Surah ar-Rakdu : 29)
d.Tawassau bil-Haqqi dan Tawassau bis-Sabri
Maksudnya ialah berpesan di antara satu sama lain dan melaksanakan kebenaran iaitu mengajak beriman kepada Allah s.w.t. dan mengikut rasulNya baik dalam akidah mahupun dalam bidang amalan-amalan kebajikan, di samping itu saling berwasiat sesama lain berlaku sabar, menahan diri daripada perbuatan maksiat, tabah menghadapi ujian dan redha dengan keputusan Allah. Jaminan kebahagiaan dan keberuntungan bagi orang yang mengajak kepada kebenaran dijelaskan dalam surah Ali-Imran : 104
وَلْتَكُمْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَاءْمُرُْوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُوْلئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
“"Hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang mengajak manusia kepada kebaikan, menyuruh mereka membuat kebaikan, melarang mereka daripada kejahatan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat kejayaaan (kebahagiaan).”
(Surah Ali Imran : 104)
KONSEP PEMBANGUNAN
1.4.0 PENGENALAN
Pembangunan bukan suatu perkara baru dalam sejarah peradaban manusia. Setiap tamadun yang pernah lahir dalam sejarah mempunyai dasar pembangunannya sendiri. Dalam hubungan ini Islam sejak saat-saat awal kelahiran lagi sudah mengemukakan dasar pembangunan yang bersepadu dengan meletakkan pembangunan insan yang berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia sebagai asas yang kukuh untuk model-model pembangunan yang lain bagi menyempurnakan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi, seperti termaktub di dalam surah al-Baqarah : 30
وَإِذْقَالَ رَبَُُّكَ لِلْمَلئِكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ فِى الأرْضِ خَلِيْفَة
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat sesungguhnya aku jadikan d muka bumi seorang khalifahi."
(Surah al-Baqarah : 30)
1.4.1 PENGERTIAN PEMBANGUNAN
Pembangunan dalam Islam adalah merupakan pelbagai dimensi yang meliputi semua aspek pembangunan kebendaan (material) dan juga pembangunan manusia keseluruhannya iaitu moral dan kerohanian yang berlaku secara bersepadu.
Ia juga boleh ditakrifkan sebagai menerima pembangunan asing, barat dan timur yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan menolak apa-apa yang berbahaya berteraskan kepada nilai-nilai hidup Islam.
Menurut Muhammad Akhir dan Hailani dinyatakan bahawa ‘Pembangunan dalam Islam adalah berlandaskan kepada orientasi nilai dengan perhatian untuk meningkatkan kebajikan umat Islam dari aspek (moral, kebendaan dan kerohanian) untuk mencapai keselamatan dan kedamaian hidup di dunia dan akhirat.’
Imam al-Ghazali mentakrifkan pembangunan dengan pemahaman yang dinamik dan mendalam tentang epistemology Islam, pelakuan sisial yang penuh beradab, pendidikan yang memberi penekanan kepada kepentingan dunia dan akhirat serta cara hdiup Islam yang menyeluruh yang merupakan teras pembangunan peradaban Islam. Terdapat dua perkara pokok dalam pembangunan Islam iaitu kekuatan intelektual dan kekuatan taharah.
Menurut Imam A’la al-Maududi, menyatakan bahawa pembangunan membabitkan perkara-perkara berikut iaitu:
•Menjelaskan semuala ajaran Islam dengan memberi fokus kepada masalah-masalah semasa yang dihadapi oleh masyarakat Islam dalam bidang sosial, ekonomi dan politik.
•Memilih tenaga kerja yang berdisiplin, berdedikasi dan berakhlak tinggi bagi melaksanakan tugas pembangunan peradaban Islam.
•Melaksanakan perubahan yang akan membawa kepada transformasi yang menyeluruh pada setiap lapisan masyarakat berdasarkan situasi tempatan yang bermakna mementingkan perancangan starategi.
•Melaksanakan reformasi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara selaras dengan kehendak Islam.
1.4.2 MATLAMAT PEMBANGUNAN DALAM ISLAM
Pembangunan Islam didasari atas dasar tauhid (Keesaan dan Kekuasaan Allah, rububiyah (sifat Allah sebagai penguasa), khilafah (peranan manusia sebagai utusan Allah ) dan Tazkiyah (penjernihan jiwa dan ketinggian akhlak). Di dalam Islam, pembangunan mempunyai matlamat penting yang mana jika dikaji dengan terperinci, kesemua matlamat tersebut akan membawa ke arah satu tamadun yang lengkap, aman dan damai, menifestasi daripada ajaran itu sendiri. Matlamat tersebut adalah seperti berikut:
a.Pembangunan Peribadi dan Keupayaan Manusia
Sepertimana yang diketahui, Islam mengajar manusia ke arah membentuk watak dan sikap yang betul menerusi pendidikan, kepimpinan dan lain-lain berdasarkan nilai Islam. Jika seseorang itu patuh sepenuhnya kepada ajaran Islam dan menjadikan Islam itu sebagai ‘the way of life’, maka segala amalan yang dilakukan tidak bercanggah dengan larangan yang telah ditetapkan. Oleh kerana itu, pembangunan peribadi dapat meningkatkan lagi keupayaan manusia seterusnya dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran yang bersih dan mantap ke arah membangunkan negara Islam mengatasi negara-negara lain di dunia.
b. Menghasilkan Keluaran Yang Berguna
Keluaran yang berguna yang dimaksudkan oleh Islam adalah makanan dan kebendaan asasi yang lain, keluaran untuk pertahanan Islam dan barang-barang untuk kegunaan sendiri. Satu perkara yang paling penting dititikberatkan oleh Islam terhadap bahan-bahan keluaran yang dihasilkan tersebut ialah ianya mesti mampu dibeli oleh orang-orang miskin dan berpendapatan rendah.
c. Meningkatkan Kualiti Kehidupan
Islam mementingkan kesejahteraan sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik. Kesejahteraan ini adalah gambaran kualiti kehidupan umat manusia. Kualiti kehidupan ini boleh dicapai dengan tiga cara iaitu:
•Mewujudkan peluang pekerjaan mengikut pengubahsuaian institusi, teknologikal, pelaburan dan pendidikan.
•Melaksanakan jaminan sosial secara meluas khususnya kepada golongan yang tidak dan kurang berupaya. Matlamat ini boleh dicapai dengan sistem zakat.
•Pengagihan pendapatan dan harta wajib dilakukan secara adil supaya dengan ini boleh merapatkan jurang ketidaksamaan yang berlaku di kalangan masyarakat.
d. Mencapai Pembangunan Yang Seimbang
Islam menganjurkan pembangunan tanpa bersyarat kepada sempadan (desa atau bandar), taraf hidup (miskin atau kaya) dan lain-lain lagi. Tujuannya supaya dapat mengelakkan ekonomi dualisme dan dapat mengeraatkan perpaduan.
e. Membangunkan Teknologi Yang Sesuai
Islam juga mementingkan pembangunan teknologi. Teknologi yang ingin dibangunkan itu mestilah sesuai dengan persekitaran tempatan iaitu sesuia dengan keperluan atau aspirasi negara Islam. Islam menggalakan merekacipta, memperbaiki dan mengubah suai teknologi yang ada kepada teknologi yang lebih canggih.
f. Mengintegrasikan Pembangunan Moral, Kerohanian dan Agama dengan Pembanunan Kebendaan.
Pembangunan Islam mengamalkan hasanah fid-dunia, hasanah fil-akhirah iaitu kebaikan di dunia dan kebikan di akhirat.
1.4.3 PERBEZAAN PEMBANGUNAN INSAN DAN PEMBANGUNAN MATERIAL
PEMBANGUNAN INSAN PEMBANGUNAN MATERIAL
•Pembangunan peribadi dan keupayaan manusia.
•Mengembangkan pengeluaran yang berguna dan berfaedah.
•Meningkatkan kualiti kehidupan.
•Untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
•Menjadikan seseorang cemerlang dari segi pembangunan yang dilakukan seimbang terhadap Islam.
•Memberi kesempurnaaan hidup kepada rakyat.
•Meningkatkan pendapatan negara.
•Mengurangkan penderitaan, pergantungan, penindasan dan ketaksamaan di kalangan individu atau masyarakat.
•Merapatkan jurang serta meningkatkat taraf ekonomi negara.
•Penciptaan teknologi baru.
1.4.4 KESAN PEMBANGUNAN YANG TIDAK SEIMBANG
Pada umumnya pembangunan masa kini tidak menepati cici-ciri pembangunan yang diinginkan oleh Islam yang terbukti telah membawa keamanan dan kesejahteraan kepada manusia. Akibatnya dunia hari ini mengalami berbagai-bagai kepincangan dan hidup manusia terancam dalam dunia yang serba maju. Di antara kesan pembangunan yang tidak seimbang ialah:
Terhadap Ummah:
•Lahirnya manusia yang bersifat mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan kebajikan orang lain.
•Berlaku permusuhan dan pergaduhan sesama manusia.
•Hanya golongan tertentu sahaja yang dapat menikmati pembangunan tersebut.
•Umat Islam senang dikuasai oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.
•Masyarakat akan menjadi lemah.
Terhadap Negara :
•Berlaku pencemaran alam sekitar yang berterusan bukan sahaja membahayakan manusia sendiri, malah akan memusnahkan keseluruhan ekosistem dan ekologi.
•Negara menjadi miskin dan mundur kerana bebanan perbelanjaan melebihi hasil pendapatan.
•Negara akan mudah dikuasai oleh bangsa asing.
KESIMPULAN
Konsep pembangunan Islam mempunyai sifat yang menyeluruh. Ia merangkumi aspek-aspek moral, kerohanian dan kebendaan. Semuanya mestilah berkembang secara sepadu tanpa mengabaikan salah satu daripadanya atau menumpukan pembangunan sebahagian dan tidak kepada yang lain. Justeru itu, pembangunan Islam adalah bersifat pelbagai dimensi.